“Maaf buat moto awak hancur” – Azhan Rani pecah tulang belikat elak dua penunggang motosikal buat ‘U-turn’ mengejut

PELAKON Azhan Rani menjelaskan keadaannya kini stabil setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya semasa menunggang motosikal.

Melalui perkongsiannya di laman Instagram sebentar tadi, Azhan atau nama sebenarnya Azhan Abdul Rani, 46, berkata bahagian scapula (tulang belikat) beliau pecah akibat kemalangan itu. Manakala pembedahan bagi memasukkan ‘plate’ di bahagian tersebut akan dijalankan esok.

“Cuma nak update, InsyaAllah tengahari esok aku akan masuk surgery untuk masukkan plate dekat scapula yang pecah ni.

“Kata doktor, pembedahan akan ambil masa antara 3 hingga 4 jam,” tulisnya di Instagram.

Perkongsian Azhan Rani di Instagram.

Dalam satu perkongsian sebelumnya, Azhan turut mengucapkan rasa terima kasih kepada beberapa individu yang membantunya dalam kemalangan tersebut.

“Buat bro Muhammad Firdaus dan sesiapa saja yang bantu saya pada hari kejadian 17 Januari 2022 sekitar jam 12:30 tengahari di Jalan Templer Park menghala Kuala Lumpur, semoga Allah merahmati kalian. Terima kasih atas jasa baik anda.

“buat dua orang abang lori yang berdiri tu, terima kasih kerana berjaya hentikan lori dan tak langgar saya.

Dia juga menasihati dua orang individu yang dipercayai menjadi punca kemalangan agar lebih berhati-hati semasa menunggang motosikal.

Buat dua orang adik yang naik motor kapcai tengah bersembang tak pandang depan lepas tu tiba-tiba masuk lane saya nak buat ‘U-turn’, semoga korang tak apa-apa. Maaf abang tinggikan suara dekat korang dalam ambulans haritu.

“Mohon jangan bawa motor macam tu lagi. Kita sama-sama syukur Allah bagi peluang kita hidup. Maaf juga buat motor awak hancur,” tulisnya.