Lan Pet Pet bergaduh lagi pukul penghantar makanan?

SEJAK malam semalam, tular sebuah video yang didakwa sebagai pelawak terkenal iaitu Lan Pet Pet yang kelihatan sedang memukul seorang lelaki dipercayai seorang penghantar makanan.

Menerusi video yang dirakam oleh salah seorang pengguna jalan raya, pelawak dan pelakon dari kumpulan Senario itu dilihat merangkul leher lelaki terbabit dan memukul kepalanya.

Turut kelihatan situasi dimana pelawak tersebut ditenangkan oleh tiga lelaki lain daripada terus memukul lelaki itu ketika kejadian berlaku.

Kejadian yang berlaku ditepi jalan raya itu juga menunjukkan Lan dalam keadaan marah, turut menjerkah lelaki itu dengan kata-kata berbaur amaran, “hang duduk Tropicana nak tunjuk samseng kat aku. Hang tau dak aku sapa?”.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah punca, waktu dan lokasi kejadian itu berlaku.

Sumber: Bintang Hitam Studios

Sementara itu menerusi Harian Metro, mereka melaporkan telah cuba menghubungi Lan bagi mendapatkan kepastian mengenai kejadian itu namun tidak berjaya.

Sebelum ini, Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 51, mencetuskan kegemparan ramai apabila memukul seorang pengawal keselamatan, Yahya Manap atau Pak Ya, 71, pada 6 April 2019.

Dia didenda RM 2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 15 April 2019 selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.

Sumber: Harian Metro