Kopratasa beri nafas baharu pada “Selamat Hari Raya”, lagu raya pertama 1936

BAGI memperbarui atau memberi nafas segar kepada lagu lama agar dapat diterima dalam versi yang lebih baik bukanlah sesuatu yang mudah.

Setiap pemuzik sudah pasti mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka perlu memperbaharukan semula lagu, lebih-lebih lagi lagu raya di mana pendengar lebih berminat pada versi asli.

Terbaharu, kumpulan Kopratasa juga turut memeriahkan tanah air bagi menyambut aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi apabila mereka merakamkan semula lagu Selamat Hari Raya yang dipercayai adalah lagu hari raya terawal di negara kita berdasarkan sumber.

Menurut Kopratasa, mereka merasakan lagu lama mempunyai nilai sejarah tersendiri dan lagu Selamat Hari Raya ciptaan Tengku Ali Basha @ Cik Ara Bangsawan yang dicipta pada 1936 juga dipercayai merupakan lagu raya pertama untuk kaum Melayu di Nusantara dan juga dunia secara umumnya.

Sehubungan itu, Kopratasa mengambil inisiatif bagi melestarikan satu khazanah (lagu) lama untuk tatapan semula generasi terkini melalui nafas baru dan merasakan ia sangat rugi jika lagu ini dibiarkan lenyap ditelan zaman.

Dalam pada itu, mereka mengharapkan orang ramai dapat menerima lagu ini kerana walaupun ia telah diperbaharui, mereka masih mengekalkan beberapa elemen pada lagu asal. Kini, lagu Selamat Hari Raya ini boleh dilayari di Youtube rasmi Luncai Emas dan juga di platform streaming digital iTunes mulai 9 Mei ini.