Thailand sedang bincang untuk hantar pulang Sajat

THAILAND ketika ini dalam pertimbangan untuk menghantar pulang usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.

Perkara itu ekoran Sajat yang dikatakan telah membuat kesalahan imigresen di negara itu.

Menurut jurucakap pihak imigresen Thailand, Mejar Jeneral Achayon Kraithong, penahanan usahawan kosmetik itu disebabkan tindakannya yang memasuki Thailand secara haram.

“Ada banyak prosedur (untuk hantar pulang Muhammad Sajjad) … kita perlu mengikuti undang-undang imigresen. Sama ada untuk menghantar (Muhammad Sajjad) balik atau tidak, ia masih dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun setakat ini difahamkan tiada sebarang permohonan yang dibuat kerajaan Malaysia untuk membawa pulang Nur Sajat.

Sebelum ini, dia ditahan pada 8 September atas kesalahan memiliki passport yang tidak sah dan dibebaskan dengan jaminan RM8,343 pada 10 September.

Pada Selasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha bersama Kementerian Luar dan pejabat Peguam Negara untuk proses mengekstradisi ahli perniagaan kosmetik itu ke Malaysia.

Muhammad Sajjad diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan pada 23 Februari kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.

Media melaporkan Muhammad Sajjad telah memohon status pelarian dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian dan sedang mengintai untuk pindah ke Australia.

Sementara itu, Thailand mengulangi bahawa kes Muhammad Sajjad akan dikendalikan mengikuti lunas undang-undang negara itu.