Roslan Shah rebah semasa siaran langsung WHI, alami tekanan darah tinggi

PENGACARA dan penghibur kelahiran Singapura, Roslan Shah secara tiba-tiba rebah sebentar tadi dalam siaran langsung rancangan Wanita Hari Ini terbitan TV3.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak syarikat penyiaran itu, Roslan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas kejadian berlaku.

Dia bagaimanapun berada dalam keadaan stabil.

“Sebaik sahaja kejadian itu berlaku, pihak produksi memanggil panel doktor di Sri Pentas untuk memeriksa kesihatan Roslan.

“Dia sedar dan memberi respons sepanjang tempoh itu dan didapati mengalami tekanan darah tinggi.

“Beliau dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut. Ujian saringan RTK juga dimaklumkan negatif,” tulis kenyataan media yang dikeluarkan TV3.

Roslan hadir sebagai tetamu rancangan terkenal itu bagi membincangkan perbualan bertajuk Si Mulut Tempayan.

Dua pengacara yang mengendalikan rancangan tersebut iaitu Hawa Rizwana dan Fatin Hamimah juga kelihatan panik semasa Roslan rebah.