Pertikai niat dan saranan Sultan Johor, ibu Neelofa mohon maaf pada Istana Johor

IBU kepada pengacara dan usahawan sensasi, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini memohon maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar serta seluruh ahli keluarga di atas kecuaian salah seorang pekerjanya yang didakwa mempunyai akses akaun Instagram miliknya.

Noor Kartini berkata, kenyataan berhubung ketidakpuasan hati terhadap sistem raja berperlembagaan dimuat naik secara tidak sengaja oleh pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd.

“Berhubung tangkap layar daripada media sosial saya yang tersebar berkenaan sistem raja berperlembagaan di Malaysia, saya ingin jelaskan perkara terbabit berlaku di atas kecuaian salah seorang pekerja saya yang mempunyai akses akaun media sosial saya.

“Individu itu adalah pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd yang secara tidak sengaja telah memuat naik Instagram Story yang tanpa sedar menggunakan akaun saya (@noorkartini). Kepada Istana Negeri Johor terutamanya DYMM Tuanku Sultan Johor dan seluruh ahli keluarga diraja, patik merafak sembah memohon maaf di atas kecuaian yang terjadi,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan”, jelasnya.

Menurut Noor Kartini, satu laporan polis turut dibuat berhubung perkara terbabit dan dia bersedia memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa.

Terdahulu menerusi satu hantaran di Instagram Story Noor Kartini, rata-rata banyak pihak terkejut dengan kenyataan yang dimuat naiknya yang disifatkan sudah menghina sistem raja berpelembagaan di Malaysia.

Dalam pada itu rantaian kata dimuat naik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim di akaun Instagram berkata, “Sesungguhnya adab itu tidak akan boleh didapati dengan jual beli, akan tetapi ia adalah suatu yang terbit di dalam hati setiap insan yang dididik dengan baik…”.

Sumber: HMetro, Awani