Pelakon, pengarah antara ditahan positif dadah

SEORANG pelakon berusia 29 tahun bersama seorang pengarah dan penolong pengarah antara yang ditahan dalam serbuan melibatkan penyalahgunaan dadah di Kuala Kangsar pada pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan tangkapan tersebut hari ini.

Serbuan dilakukan sekitar jam 1.15 oleh sepasukan anggota dari IPD Kuala Kangsar dengan bantuan anggota Balai Polis Kuala Kangsar.

Hasil semakan air kencing terhadap kesemua suspek turut mendapati positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol manakala penolong pengarah pula didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Menurutnya, pengarah serta penolong pengarah berkenaan masing-masing berusia 49 dan 47 tahun.

Ketika serbuan dilakukan, mereka dikatakan berada di dalam bilik yang berasingan.

Kes disiasat mengikut 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tangkapan yang dibuat adalah berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam kata Mior Faridalathrash.