Pejam celik, sudah genap 22 tahun arwah Along Spoon pergi meninggalkan kita – “Rindu Serindu-Rindunya..”

ANDA masih ingat kisah menyayat hati yang menimpa penyanyi kesayangan, Along Spoon? Siapa sahaja yang lahir sekitar tahun 1980an pastinya tidak betah untuk melupakan tragedi yang menimpa anak muda bernama Sabi’ul Malik Shafie ini, lapor portal Timur Daily.

Pejam celik, sudah genap 22 tahun arwah Along pergi meninggalkan kita. Namun pada masa sama, lagu-lagu nyanyian arwah bersama Spoon seperti Rindu Serindu-Rindunya, Memori Sekuntum Rindu, Kini, Sepenuh Hati dan banyak lagi sememangnya masih malar segar dalam ingatan.

Memetik laporan portal Timur Daily, Along ditemui mati dalam sebuah guni di sebuah gaung, bertempat di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, Negeri Sembilan pada jam 1 pagi, 6 Januari 2000.

Sebelum itu, media melaporkan, Along didapati hilang pada 25 Disember 1999. Waktu itu lagu Rindu Serindu-Rindunya sedang popular. Di era kegemilangannya… dia pergi penuh tragis.

Pada 19 Januari 2000, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal, Mohamed Ya’cob Demyati dari cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan atas tuduhan membunuh Along.

Pada 10 April 2002, Mohamed Ya’cob didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap tuduhan membunuh Along dengan sengaja pada pukul 1 pagi, 26 Disember 1999.

Pada 2 November 2010, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap Mohamed Ya’cob.

Seorang peguam telah berkongsikan kronologi yang berlaku di sebalik kisah pembunuhan kejam Along Spoon menerusi Twitter Sir Kamarul.

KRONOLOGI insiden Along Spoon yang diceritakan semula menerusi bebenang ciapan Twitter Sir Kamarul.

Malam kejadian, mereka berdua turun dari kereta. Kawasan sunyi dan bersebelahan hutan. Tiada sesiapa di situ. Selang 45 minit, sebab berasa tidak sedap hati, pemandu kereta berpatah balik. Kalini hanya seorang daripada mereka kelihatan. Ke mana perginya sorang lagi?

Setelah pemandu kereta itu tiba di lokasi di mana dia menurunkan mereka berdua, hanya seorang yang berdiri di tepi jalan. Seorang lagi yang hilang itu sebenarnya sudah mati dibunuh. Apa yang terjadi sebenarnya?

Semasa tiba di lokasi kejadian itu, suspek yang disyaki membunuh itu memberikan jawapan ‘kita balik biarkanlah dia’. Ayat ini bermaksud suspek tau di mana mangsa yang hilang itu berada. Pemandu kereta itu kemudian bertanya lagi, di mana mangsa?

Tetapi, suspek terus berdiam diri dan termenung di dalam kereta. Kehilangan mangsa kemudian terus tersebar di media massa. Ketika suspek ditanya pemandu itu, suspek kemudian menjawab ‘apa-apa hal biar dia yang bertanggungjawab’.

Disebabkan ada saksi yang nampak suspek adalah orang terakhir bersama mangsa, suspek ditangkap polis 10 hari selepas kehilangan mangsa. Ketika suspek ditangkap, mangsa belum ditemui berada di mana.

Keluarga mangsa kemudian menerima panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali. Mereka meminta wang tebusan dan mengatakan mangsa telah diculik. Penculik meminta wang tebusan sebanyak 500 ribu sebelum mangsa dilepaskan.

Siasatan polis kemudian mengesahkan tiada kes mangsa diculik. Penculik itu hanya menyamar dan mahukan duit. Mangsa bukan diculik, sebaliknya sudah dibunuh. Pasukan penyiasat kemudian menyoal siasat suspek. Mangsa perlu dicari.

Semasa disoal siasat, suspek memberikan satu kenyataan ‘mayat dia, saya isikan dalam guni telah saya campakkan di tepi jalan dan saya setuju untuk tunjukkan tempat itu’. Suspek kemudian membawa polis ke lokasi kejadian.

Sepasukan SMART, Pulapol menyertai polis untuk mencari mangsa. Mangsa kemudian dijumpai telah mati. Mayat mangsa sudah reput diikat dalam sebuah guni. Ketika ditemui, mayat berada berkedudukan seperti posisi janin dalam rahim.

Hasil pemeriksaan dan bedah siasat dari pakar forensik mendapati kematian mayat ialah akibat jerutan pada leher. Tetapi, adakah benar mangsa mati kerana dibunuh suspek? Atau ada kelibat orang ketiga?

Disebabkan tiada saksi yang melihat mangsa dibunuh, pihak pendakwa raya bergantung pada keterangan ikut keadaan (‘circumstantial evidence’). Apakah motif mangsa dibunuh?

Semasa hari kejadian, mangsa dikatakan naik kereta bersama suspek. Mereka berdua duduk di seat belakang. Ketika itulah, suspek bertanyakan mangsa adakah mangsa mempunyai apa-apa hubungan dengan isteri suspek?

Suspek mengesyaki mangsa memang mempunyai hubungan sulit dengan isterinya. Jadi, mangsa ditanya berkali-kali. Mangsa menafikannya. Suspek kemudian bagitau mangsa, dia nampak mangsa berdua dengan isterinya dalam kereta.

Suspek geram dengan mangsa dan berkali-kali mengetuk kepala mangsa di dalam kereta. Pemandu kereta kemudian menyuruh suspek supaya jangan cederakan mangsa. Ketika inilah, suspek arahkan kereta supaya berhenti. Nak terkencing katanya.

Tetapi, mangsa juga ditarik keluar dari kereta. Suspek bagitau kepada pemandu agar pergi balik rumah. Suspek dan mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan. Berdua. Ketika inilah berkemungkinan besar segala-galanya berlaku.

Mangsa kemudian hilang tanpa khabar berita dan suspek ditangkap sebab dialah orang terakhir kelihatan bersama mangsa. Pemandu kereta menjadi saksi pendakwaan ketika kes dibicarakan.

Mahkamah Tinggi telah memutuskan suspek bersalah membunuh mangsa. Keterangan mengikut keadaan membuktikan suspek mempunyai motif yang kuat untuk membunuh mangsa. Suspek dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

‘To establish a case of murder, motive is not an element to be proven. But, it would if shown to support the case against the accused’ (kes Dato Mokhtar Hashim v PP).

Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2008 dan Mahkamah Persekutuan pada 2010. Suspek yang merupakan seorang anggota polis didapati bersalah membunuh mangsa. Hukuman gantung sampai mati dikekalkan.

Fakta mangsa diculik dan dibunuh oleh orang lain telah ditolak dan tidak diterima mahkamah. Tiada bukti konklusif adanya penculikan. Panggilan telefon meminta wang tebusan hanyalah palsu dan satu helah memandangkan mangsa dikenali ramai sebagai anggota kumpulan muzik ‘spoon’. – Sir Kamarul

Al-fatihah untuk arwah Along Spoon. Memori membesar bersama lagu nyanyian arwah pastinya sentiasa mekar dalam ingatan. “Berikanlah jawapan, huraikanlah simpulan, biar tenang jiwaku…. Rindu Serindu-Rindunya.” – TheNewsMalaysia

Sumber: Timur Daily