Home Hiburan Kontroversi Digelar mandul, Siti Elizad ambil tindakan pada individu biadab!

Digelar mandul, Siti Elizad ambil tindakan pada individu biadab!

PELAKON dan pengacara popular, Siti Elizad baru-baru ini meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap kenyataan seorang individu bermulut celupar apabila menggelar dirinya mandul. Elizad bahkan dihina dengan kata-kata kesat berikutan belum mempunyai zuriat.

Menurut Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 37, dia telah memfailkan laporan di Balai Polis Bukit Jalil kerana tuduhan tersebut telah mengguris hatinya sebagai seorang wanita dan isteri.

Katanya melalui ruangan kapsyen di Instagram, “Pertamanya, jarang-jarang hendak melayan komen-komen bodoh begini tetapi bila dia guna perkataan ‘mandul’, sangat melukakan hati saya. Kau Allah SWT ke yang tahu aku ini mandul atau tidak boleh beranak? Menggigil dan terketar-ketar tangan ketika ini”.

Melalui perkongsian yang sama, Elizad turut memuat naik sebuah video memaparkan seorang lelaki yang mengecam tindakan biadap individu tersebut.

Sehubungan hal ini, penyampai radio Sinar.FM itu tuduhan tersebut terlalu kejam sehingga membuatkan jantungnya seperti hendak gugur dan mengakui dia menaip kapsyen hantaran tersebut dalam keadaan menangis.

“Jantung rasa nak tercabut, sedih yang teramat sangat! Kau sukakah kalau tengok saya bercerai-berai sebab belum ada zuriat? Saya menangis ketika menaip semua ini, awak tahu ke saya solat atau tidak? Bersedekah, mengaji, atas sejadah dan semua amalan perlu dikongsi ke? Lain orang lain caranya”, jelasnya lagi.

Tambahnya, “Saya tidak perlukan perhatian murahan seperti ini kerana sudah bahagia dengan kehidupan sekarang. Rezeki anak itu semua kerja Allah”.

Dalam pada itu, dia juga menegaskan perkataan mandul tidak boleh disebut mahupun dilabelkan kepadanya memandangkan selama ini dia sudah berusaha keras, bahkan pernah mengandung untuk mendapatkan zuriat.

Elizad berkata, “Saya berusaha keras bagai nak mati untuk dapatkan zuriat sendiri. Hari-hari menangis dalam solat minta pada Allah agar jangan biarkan berseorangan tanpa zuriat. Bertahun-tahun jumpa doktor pakar, pergi seluruh pelusuk berubat, cucuk sana-sini, sakit tahu tak? Kau pula senang-senang gelar aku pu****k dan mandul”.

“Jarang aku ambil kisah dan tidak maafkan orang tetapi kali ini, luluh hati! Saya sudah buat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil terima kasih kepada semua yang membantu, selebihnya tunggu tindakan selanjutnya esok,” ujarnya lagi.

Elizad turut mengucapkan terima kasih kepada seorang lelaki dalam video berkenaan yang berpihak kepadanya dan turut mengecam tindakan individu tidak bertanggungjawab itu.

https://thenews.com.my/wp-content/uploads/2021/06/203956614_888528845033719_3396549601005351358_n-1.mp4

Menjengah di ruangan komen, ramai peminat dan juga rakan selebriti yang mendoakan kesejahteraan Elizad dan turut menasihatkannya agar bersabar dan mengambil tindakan sepatutnya agar individu biadap itu dapat pengajaran.

Terdahulu, Elizad pernah menjalani proses rawatan kesuburan In vitro fertilisation (IVF) bagi mendapatkan cahaya mata pada September tahun lalu namun disahkan mengalami keguguran pada November dan pernah mendirikan rumah tangga bersama Shamsul Baharin Rahman pada 11 Januari 2015.

Exit mobile version