Didakwa rogol pelakon tamil kelahiran Malaysia, bekas menteri ditahan

BEKAS menteri di Tamil Nadu, M Manikandan ditahan pada 20 Jun selepas didakwa merogol seorang pelakon wanita India yang berasal dari Malaysia.

Pada 28 Mei lalu, difahamkan mangsa yang berusia 32 tahun telah membuat laporan polis terhadap Manikandan, 44.

Pasukan khas ditubuhkan bagi menangkap bekas menteri teknologi maklumat yang membawanya ke Chennai selepas ahli politik itu didakwa melarikan diri apabila Mahkamah Tinggi Madras menolak permohonan jaminannya.

Menurut polis, soal siasat terhadap Manikandan selama hampir dua jam telah dilakukan Ahad lalu.

Manikandan didakwa mengikut pelbagai seksyen mengikut Kanun Keseksaan India antaranya merogol, menyebabkan keguguran tanpa persetujuan wanita), menyebabkan kecederaan, menipu dan ugutan jenayah.

Selain itu, mangsa mendakwa dia dan Manikandan sudah mempunyai hubungan sejak lima tahun lalu dan lelaki berjanji mahu mengahwininya.

Dalam pada itu, wanita berkenaan turut mendakwa Manikandan pernah menyebabkan dirinya mengandung tiga kali dan memaksanya menggugurkan kandungan.

Dia yang juga pelakon dalam industri filem Tamil mendakwa bekas menteri itu mengugut keluarga dan dirinya dengan menyebarkan gambar dan video bogelnya jika dia enggan meninggalkan negara itu.

Pelakon itu mendakwa mengenali Manikandan pada 2017 melalui kenalan rapat ketika dia mempromosikan industri pelancongan di Malaysia, manakala lelaki itu memegang jawatan Menteri Teknologi Maklumat Tamil Nadu ketika itu. Namun, ia dinafikan oleh Manikandan dan mengatakan tidak mengenali wanita itu langsung selain mendakwa wanita itu hanya mahukan wang dan mahu merosakkan imejnya.

Sumber: Harian Metro