Didakwa pesong akidah umat Islam, filem Mentega Terbang dihentikan tayangan

FILEM ‘Mentega Terbang’ yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu kerana didakwa mengandungi unsur-unsur yang memainkan sentimen agama sehingga mencetuskan pertikaian pelbagai pihak didapati sudah dihentikan tayangannya oleh platform penstriman VIU, lapor Getaran.

Filem yang mengisahkan tentang seorang perempuan bernama Aisyah yang mencari jawapan apa yang akan terjadi kepada seseorang setelah dia meninggal dunia. Bagi mendapatkan jawapan tersebut, dia telah mengkaji beberapa agama seperti Islam, Kristian, Judaism, dan Hindu

Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) terhadap produksi filem tersebut kerana menerbitkan filem yang mempunyai unsur-unsur yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

PUTRA juga turut meminta Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan filem berkenaan kerana dikatakan berbahaya buat anak anak muda yang belum memahami Islam.

Selain itu, penyanyi rap Caprice menerusi media sosialnya, turut meminta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk mengambil tindakan keras kepada pihak produksi berkenaan kerana seolah-olah mempromosikan kufur.

Filem ‘Mentega Terbang’ yang dilanda kontroversi itu merupakan filem indie pertama yang ditayangkan di platform penstriman VIU.

Sumber gambar – Wikipedia | Sumber laporan – Getaran