Caprice dedah terima lebih 60 ugutan bunuh

PENYANYI rap dan selebriti aktivis, Caprice membuat pendedahan terima lebih 60 ugutan bunuh terhadap dirinya sejak dua bulan lalu.

Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 33 tahun memberitahu, ketika ini beliau berada di bawah pengawasan keselamatan untuk tempoh 24 jam sejak pulang daripada Mesir atas tujuan misi kemanusiaan.

“Dalam masa dua bulan ni Caprice terima over 60 real ugutan bunuh, nak jumpa depan pagar, nak turun office Caprice, nak ajak jumpa, nak ugut jangan sampai Pulau Pinang dan macam-macam lagi.

“I have been under 24/7 security sejak sampai Kuala Lumpur. It is not fun nor is it funny. We can do this by law or we can open a charity kick boxing match your team vs my team.

“Settle with the law, or settle in the ring, I’m ok. But don’t leave threats and expect me to keep my mouth shut I’m not that guy,” katanya menerusi hantaran di IG Story.

Mengulas mengenai komen salah seorang pengikutnya yang meminta beliau membuat laporan polis, Caprice berkata beliau terlalu penat.

“Kita dari Mesir, Jordan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekarang dalam kuarantin, tidak dapat singgah Bukit Aman lagi,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, beliau sedia memberikan kerjasama penuh terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

“Insya-Allah lepas habis kuarantin Caprice nak fokus balik bisnes dulu, family, misi dan selepas tu dapat kerjasama dengan pihak @pdrmsia_official untuk selesaikan isu yang lain. Kita sentiasa fight Insya-Allah,” ujarnya.

Terdahulu, Caprice berkongsi menerima ugutan menerusi laman Instagram yang memintanya untuk tidak datang ke negeri Pulau Pinang kerana dikhuatiri dia tidak akan kembali.

Penyanyi Rap itu juga sebelum ini terkait dengan kontroversi misi kemanusiaan di Gaza melibatkan beberapa pihak termasuk seorang pendakwah bebas terkemuka, Ebit Lew.