Bergurau tak kena tempat, Iman Troye dikecam raikan peningkatan kes Covid 19

MUNGKIN niat asal mahu bergurau, namun bila bergurau perlulah berpada-pada dan melihat situasi sekeliling.

Terbaru, penyanyi muda yang baru meningkat naik, Iman Troye telah memuat naik satu ciapan yang mengundang kemarahan netizen ketika angka pesakit dan jumlah kematian Covid 19 semakin meningkat.

“Happy 6,900 everyone! Tahniah! Harap esok dapat 7,000 hihi,” tulisnya di akaun Twitter.

Walau bagaimanapun, ciapan tersebut telah memakan dirinya sendiri dan warganet turut meminta agak pelantun lagu Teman itu perlu disenarai hitam dalam industri hiburan.

Tindakan Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin atau senang dipanggil Iman itu dikritik kurang matang dan menyebabkan dia dikecam teruk netizen kerana dilihat tidak sensitif mengenai isu semasa dan menjadikan ia bahan gurauan.

Dalam pada itu, Iman telah menyahaktif akaun Twitter sejurus selepas ciapan tersebut diulang ciap. Menjengah ke ruangan komen ramai yang meluahkan rasa ketidak puasan hati mereka dan berpendapat jika selepas ini ada artis yang dihentam jangan guna ‘tiket’ dengan mengaku diri penghidap masalah gangguan mental.

Semalam, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 6,976 kes baharu Covid-19 manakala hari ini setakat tengah hari tadi 6,509 lagi jangkitan dilaporkan.

Selangor mencatat jangkitan baru tertinggi dengan 2,049 kes diikuti Sarawak (530), dan Johor serta Kuala Lumpur yang kedua-duanya mencatat 468 kes.