Bekas penyanyi kumpulan nasyid ditahan tanam ganja

SEORANG komposer yang juga merupakan penyanyi yang pernah menyertai sebuah kumpulan nasyid ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis ganja di kediamannya semalam.

Artis lelaki berusia 47 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata suspek ditahan di sebuah kondominium di Kota Damansara.

“Dalam serbuan itu, sepasukan anggota polis menemui dan merampas pokok ganja yang ditanam dan suspek juga didapati memiliki dadah jenis ganja.

“Suspek direman pagi ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada Berita Harian.

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengetahui motif sebenar artis yang pernah berkolaborasi dengan artis lain dalam beberapa lagu memiliki dadah.

Sumber: Berita Harian