Home Hiburan Kontroversi Awal Ashaari terkilan tak dapat ucap selamat tinggal, dedah khidmat sebagai pengacara...

Awal Ashaari terkilan tak dapat ucap selamat tinggal, dedah khidmat sebagai pengacara Melodi seakan ditamatkan begitu sahaja

PENGACARA terkenal Awal Ashaari akhirnya buka mulut berkaitan desas desus statusnya sebagai pengacara program hiburan terkenal, Melodi yang bersiaran di saluran TV3.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, melalui perkongsiannya di laman Instagram pada petang Sabtu turut meluahkan rasa sugul yang dihadapinya sepanjang dua minggu lalu tambahan lagi apabila diaju soalan tentang keberadaannya bersama rancangan hiburan tersebut.

“Ucapan selamat tinggal yang paling sukar ialah bila tidak dapat mengucapkan kata-kata tersebut. Dua minggu yang cukup sugul bagi saya. ikutkan hati nak berdiam sahaja, tetapi memandangkan ramai yang sudah bertanya, tidak baik pula membiarkan peminat dan rakan-rakan media berteka-teki.

“Semalam bersamaan Jumaat, 25 Julai 2021 merupakan hari terakhir saya bersama program Melodi. Sepanjang PKP, kami bersiaran secara virtual dan petang semalam merupakan rakaman saya yang terakhir bersama Janna Nick, di rumah kami masing-masing,” tulisnya.

Perkongsian Awal di Instagram.

Awal, 40, menjelaskan pihak TV3 telah membuat keputusan bagi menggunakan pengacara sedia ada di bawah syarikat Media Prima bagi menggantikan dia dan Janna Nick.

Tempoh dua minggu juga diberikan untuk menghabiskan dua episod terakhir mereka bersama Melodi.

“Pihak stesen mengambil keputusan untuk menggantikan pengacara sedia ada dengan ‘in-house talent’ yang bernaung di bawah pengurusan Media Prima bermula Ogos 2021.

“Dua minggu diberikan untuk kami menghabiskan dua episod terakhir sebelum melodi memperkenalkan hos baru mereka minggu ini.”

Awal turut meluahkan rasa terkejutnya apabila keputusan tersebut seakan terlalu drastik tanpa sebarang pemberitahuan awal.

Tempoh dua minggu yang diberikan juga dirasakan terlalu singkat tambahan lagi dengan keadaan semasa yang membataskan pergerakan anak seni bagi mencari rezeki.

“Terkejut, sebelum ini kalau ada pertukaran, kita akan boleh jangka kerana akan ada ‘hint’ ada kiasan atau maklumat dalaman yang memberi cukup masa untuk bersedia menghadapi transisi besar dalam kerjaya kami.

“Dua minggu? Tentunya satu keputusan yang sukar diterima di saat anak seni rata-rata berdepan dengan kekangan tidak boleh bekerja. Khidmat yang saya curahkan sepanjang 8 tahun bergelar pengacara Melodi seolah-olah terhenti begitu sahaja,” luah Awal lagi.

Awal bagaimanapun menjelaskan dia reda dengan keputusan yang diambil namun sedikit terkilan kerana tidak dapat mengucap selamat tinggal kepada seluruh krew Melodi secara berdepan.

Rata-rata rakan selebriti dan peminat turut meluahkan rasa terkejut akan keputusan itu.

Mereka bagaimanapun mendoakan pintu rezeki buat pengacara itu terbuka lebih luas selepas ini.

Perkongsian tersebut mendapat lebih 30 ribu tanda suka dan hampir 800 komen setakat ini.

Exit mobile version