Anak Shah Rukh Khan ditahan terlibat sindiket dadah

ANAK lelaki kepada bintang terkemuka Bollywood, Shah Rukh Khan serta dua lagi rakannya direman sehingga 7 Oktober selepas didakwa terlibat pengambilan dadah.

Perintah reman dikeluarkan pihak Mahkamah Mumbai semalam selepas pendakwa raya, Anil Singh memohon ketiga-tiga individu berkenaan diletakkan di bawa pemerhatian.

Menurut Narcotics Control Bureau (NCB), Aryan Khan juga dikatakan terlibat dengan sindiket dadah antarabangsa.

“Ketiga-tiga tertuduh perlu diletakkan di bawah pengawasan bagi membantu siasatan penglibatan mereka dalam sindiket dadah,” kata Anil.

Katanya beberapa suspek turut didapati terlibat namun identiti mereka masih belum diketahui.

Aryan Khan, 23 tahun ditahan bersama tujuh individu lain termasuk dua wanita dalam satu serbuan dilakukan NCB di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai pada Ahad lalu.

Selain itu, pihak berkuasa turut membuat rampasan 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 1.3 juta lakh rupee menurut laporan media antarabangsa.

Ketika serbuan, Aryan dilaporkan bersama dua rakannya iaitu pelakon, Arbaz Seth Merchant dan pereka fesyen, Munmun Dhamcecha.