“Ada cara lebih baik dan patuh syariah” – Ustaz Firdaus Wong tegur Azhan Rani pakai telekung

PENCERAMAH bebas terkenal Ustaz Firdaus Wong menegur perlakuan pelakon Azhan Rani yang dilihat memuat naik sekeping gambar dia mengenakan telekung.

Melalui laman sosial Facebook miliknya, Ustaz Firdaus atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung menjelaskan niat Azhan Rani untuk menegur ‘perempuan’ tiruan sepatutnya disampaikan dengan cara yang lebih baik dan patuh syariah.

“Perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasalam jugalah segelintir Muslim suka lakukan dan segelintir Muslim rasa tiada apa-apa sekadar gurauan.

“Mungkin niat saudara Azhan mahu menegur ‘perempuan’ tiruan tetapi saya yakin ada cara yang lebih baik dan patuh syariah untuk melakukannya. Sebagaimana tidak wajar seorang wanita berhijab berlakon lalu membuka hijabnya kerana mahu menegur ‘lelaki’ tiruan, begitu juga tidak wajar seorang lelaki melakukan perkara yang sama, tulisnya.

Gambar yang dimuat naik Azhan Rani di Instagram.

Firdaus turut menegur rancangan-rancangan televisyen yang menayangkan perkara serupa tanpa rasa bersalah.

Malah dia berkata batas gurauan dalam Islam seharusnya dijaga.

“Perkara sebegini juga berleluasa di rancangan hiburan lain seperti Maharaja Lawak dan program-program seumpamanya. Saban tahun mereka melakukannya tanpa rasa bersalah atas alasan sekadar gurauan dan hiburan.

“Menormalisasi sesuatu yang dilaknat oleh Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasalam? Islam membenarkan gurauan tetapi ada adab dan batasnya. Belajarlah wahai saudara seimanku. Semoga Allah mengampuni kekhilafan kita dan kurniakan ilmu bermanfaat buat kita semua untuk menjadi hamba yang lebih bertaqwa, tulis Firdaus lagi.

Teguran Ustaz Firdaus Wong di Facebook miliknya.

Minggu lalu, Azhan Rani yang terkenal dengan watak Ustaz Madi yang dibawanya menerusi drama Nur telah memuat naik sekeping gambar melihat perbandingan dia dan pelakon Neera Azizi memaki telekung.

Dia memuat naik gambar tersebut bersempena hari wanita sedunia yang disambut minggu lalu.

Azhan melalui kapsyen yang ditulis bagaimanapun menujukan ucapan tersebut kepada kaum wanita sahaja dan cuba menyampaikan mesej menegur ‘perempuan’ jadian.

“Sempena hari wanita sedunia pada hari ini, saya ingin mengucapkan selamat hari wanita sedunia kepada yang 100% wanita saja,” tulis Azhan.