Khai Bahar lancar produk kesihatan, dah reda jika ‘business’ tak menjadi


PENYANYI Khai Bahar menegaskan tidak akan mengalah jika bidang perniagaan yang diceburinya tidak membuahkan hasil kelak.

Ini kerana terdapat beberapa selebriti tanah air menceburi pelbagai bidang perniagaan akhirnya gulung tikar atas faktor-faktor tertentu.

Jelasnya, setiap perkara yang dilakukan mesti mempunyai risiko dan perlu ditempuhi dengan tabah.

Khai bersedia jika perniagaan tidak menjadi.

“Saya faham, menceburi bidang perniagaan ini bukan perkara yang mudah dan perlu ilmu yang cukup untuk mengenalinya.

“Oleh itu, saya telah bersedia dan mempelajarinya dengan individu yang benar-benar memahami selok-belok perniagaan.

“Apa yang saya harapkan, bisnes saya ini membuahkan hasil dan menerima sambutan menggalakkan dari semua pihak termasuk peminatnya,” katanya dalam Majlis Pelancaran produk minuman kesihatan miliknya.

Dalam perkembangan lain, Khai Bahar bakal tampil dengan mini album ketuhanan sempena bulan Ramadan tahun ini.

“Saya mempunyai perancangan untuk keluarkan mini album lagu-lagu ketuhanan yang masih dalam proses perbincangan.

“Semoga perancangan itu dapat berjalan lancar dan dipermudahkan, Inshaa Allah,” tambahnya.