Home Hiburan Jenazah Siti Sarah selamat dikebumikan

Jenazah Siti Sarah selamat dikebumikan

JENAZAH penyanyi, Siti Sarah Raisuddin, 36 tahun selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak pada jam 1.40 tengah hari tadi.

Terdahulu van jenazah yang diiringi beberapa buah kenderaan tiba di tanah perkuburan tersebut sekitar jam 12.35 tengah hari yang bergerak dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia bagi proses pengurusan.

Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, serta bayi lelaki yang baru dilahirkan Jumaat lalu.

Isteri kepada pelawak, Shuib Sepahtu sebelum ini ditidurkan akibat COVID-19 selain perlu menjalani pembedahan tanpa sedar bagi melahirkan bayinya.

Penyanyi yang terkenal menerusi nyanyian ‘Semakin’ itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi hari ini selepas bertarung nyawa selama beberapa hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM akibat COVID-19.

Sebelum ini, perkembangan kesihatan beliau turut dilaporkan suaminya berhubung kadar bacaan oksigen yang sebelum ini dikatakan semakin baik.

Bagaimanapun, tahap oksigen Siti Sarah dilaporkan kembali merosot semalam dengan tahap bacaan sebanyak 40 peratus.

Berita pemergian Siti Sarah dimaklumkan sendiri oleh Shuib pada awal pagi ini menerusi akaun Instagramnya (IG).

Turut hadir di tanah perkuburan terdiri daripada beberapa rakan artis untuk memberikan penghormatan terakhir.

Proses pengebumian dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang memerlukan pemakaian PPE.

Seluruh keluarga Allahyarham sebelum ini juga dikhabarkan positif COVID-19 sebelum perkhabaran Siti Sarah yang memerlukan rawatan di ICU HCTM.

Exit mobile version