Home Hiburan Janna Nick tampil buat permohonan maaf isu ‘Lisa Blackpi*g’, ambil tindakan undang-undang...

Janna Nick tampil buat permohonan maaf isu ‘Lisa Blackpi*g’, ambil tindakan undang-undang terhadap individu sebar fitnah isu hina kematian artis Kpop.

PELAKON Janna Nick akhirnya tampil membuat permohonan maaf berkaitan isu yang hangat diperkatakan apabila menamakan salah satu watak dalam telefilem arahannya, Delen sebagai Lisa Blackpig.

Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner yang turut ditemani bersama peguamnya, Ben Syazmin dari Tetuan Tan Norizan & Associates juga menjelaskan dia tidak sama sekali berniat untuk memburukkan nama kumpulan terkenal Korea Selatan tersebut dan ia sekadar watak dalam telefilem arahan pertamanya itu.

“Saya selaku pengarah telefilem Delen ingin mengambil tanggungjawab ini dengan membuat permohonan maaf terhadap kapsyen yang ditulis itu,” kata Janna.

“Kapsyen tersebut dimuat naik dalam akaun media sosial syarikat produksi saya dan ia sama sekali tidak berniat untuk memburukkan kumpulan Blackpink. Ia sekadar satu watak antagonis dalam telefilem arahan saya.

Janna turut ditemani peguamnya dalam sidang media tersebut.

Janna, 26, menjelaskan perkara itu dalam satu sidang media khas melalui laman sosialnya pada petang Khamis.

Dia turut menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan kembali satu video dimana dia didakwa menghina kematian anggota kumpulan Shinee iaitu Kim Jong-hyun yang pernah tular pada 2017.

“Video tersebut sekali lagi tular di laman sosial berserta kapsyen bersifat provokatif.

“Malah saya dituduh tidak sensitif atas isu kematian, itu bukan saya. Lebih buruk apabila saya turut menerima ugutan bunuh.

“Jadi saya perlu ambil tindakan sewajarnya dengan membuat laporan polis,” tambah Janna.

Komen yang menimbulkan kemarahan peminat Kpop.

Beberapa hari lalu, pelakon yang mempunyai 6.2 juta pengikut di Instagram itu didakwa mempersendakan bintang Kpop, Lalisa Manoban atau Lisa daripada kumpulan tersohor Blackpink apabila menamakan seorang watak telefilem pertama arahannya, Delen sebagai ‘Lisa Blackpig’.

Keadaan bertambah tegang apabila video lama mengaitkan pelakon Melastik Ke Hatimu itu dengan kematian anggota kumpulan Shinee, Kim Jong-hyun, meninggal dunia pada 2017 kembali dikongsi peminat.

Janna memilih untuk membuat laporan polis apabila atas nasihat peguamnya apabila berdepan ugutan jenayah dan serangan peribadi termasuk membabitkan syarikat produksi miliknya, Janna Nick Studios.