Home Hiburan Jangan Alpa Kelonggaran Diberikan Kerajaan

Jangan Alpa Kelonggaran Diberikan Kerajaan

Pawagam dibenar beroperasi semula bermula 1 Julai depan.
KUALA LUMPUR: Bagi ‘kaki wayang’ dan penggemar filem tempatan, mahupun antarabangsa, pengumuman kerajaan semalam untuk membenarkan pawagam kembali beroperasi bermula 1 Julai depan, sudah tentu merupakan satu perkhabaran gembira.
 
Selepas hampir tiga bulan terpaksa menonton ‘layar kecil’ di rumah dengan rancangan dan filem lama yang disiar berulang kali, baik menerusi siaran televisyen digital percuma, mahupun stesen televisyen berbayar, kelonggaran yang diberikan ini amat ditunggu-tunggu.
 
Antara filem yang dijadual untuk ditayangkan di pawagam adalah filem perisikan British terkenal, ‘James Bond: No Time To Die’, yang sepatutnya ditayangkan pada April lepas, namun terpaksa ditunda berikutan penularan wabak COVID-19.
 
Turut ‘beratur’ menunggu giliran untuk ditayangkan termasuk filem francais Marvel ‘Black Widow’; filem keluaran Walt Disney Pictures ‘Mulan’, serta filem seram ‘Antlers’ dan ‘Antebellum’.
 
Bukan sahaja dapat menonton wayang, kerajaan turut memutuskan untuk membenarkan aktiviti teater dan ‘live event’, serta riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar dan kolam renang persendirian.
 
Kebenaran yang sama juga diberikan terhadap penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan.
 
Namun dalam keghairahan terhadap kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan, aspek kawalan kendiri serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan oleh kerajaan perlu terus diutamakan.
 
Sudah tentu, kita tidak mahu kes jangkitan COVID-19 di negara ini kembali meningkat dan wujud kembali kluster baharu, dek kealpaan dan kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Lihat sahaja apa yang berlaku tiga hari lalu, apabila timbul kluster di Labu Lanjut, Sepang, yang menjangkiti lima individu setakat ini, dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung.
 
Walaupun jumlahnya hanya satu angka, tidak mustahil angka itu akan meningkat serta timbul lagi kluster baharu seumpamanya, jika aspek kawalan kendiri termasuk amalan jarak sosial diabaikan.
 
Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri beberapa hari lepas mengeluarkan amaran tentang ‘fasa baharu dan berbahaya’ pandemik COVID-19, apabila orang ramai mula bosan dengan perintah berkurung dan kawalan pergerakan, sedangkan virus itu masih merebak.
 
Ingatlah, kita belum menang walaupun semalam buat kali kedua, tiada kes penularan di negara ini dalam kalangan warganegara direkodkan, selepas kali pertama dicatatkan pada 9 Jun lepas.
 
Berjaya atau tidak usaha untuk memutuskan rantaian pandemik ini, banyak bergantung kepada usaha rakyat sendiri, kerana Malaysia hanya boleh mengumumkan bebas daripada jangkitan COVID-19 sekiranya tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari.
 
Sumber :  BERNAMA