‘Inspektor’ Yoe Parey dah ada lesen memandu

SELEPAS lebih setahun mengikuti kelas di sekolah memandu, bakat popular YouTube, Yoe Parey kini sudah memiliki lesen memandu motosikal B2.

Yoe atau nama sebenarnya, Mohammad Ashrul Hakim Lukman, 22, memperoleh lesen motosikal selepas mengikuti kelas melalui program khas anjuran sekolah memandu di Kandis, Bachok, Kelantan.

“Walaupun sibuk shooting (berlakon) dan berulang alik ke Kuala Lumpur-Kelantan serta memenuhi undangan, saya juga habiskan kelas dan akhirnya dapat lesen.

“Rasa lebih selamat bila ada lesen, kena ikut undang-undang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kedai keluarganya di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh kelmarin.

YOE Parey menunjukkan plak lesen memandu motosikal, B2 kepada bapanya, Lukman Hamzah di kedainya di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh. – Gambar kredit Harian Metro

Yoe yang juga pemuda istimewa mempunyai masalah pembelajaran berkata, selain ditawar lesen percuma, sekolah memandu berkenan turut menghantar dan mengambilnya sekali gus memudahkannya mengikuti kelas.

Katanya, dia menasihati orang ramai terutamanya remaja mengambil lesen sebagai langkah keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya.

Bapanya, Lukman Hamzah, 54, berkata, dia turut berkongsi kegembiraan anak kedua daripada tujuh beradik itu walaupun hanya membenarkan anaknya menaiki motosikal di sekitar rumah dan kedai mereka sahaja.

Katanya, dia dan isteri, Nor Asiah Mohd Noor, 45, tumpang gembira kerana kejayaan Yoe dan menganggap populariti anaknya memberi tuah untuk dia mendapat lesen secara percuma.

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version