SEJAK beberapa hari lalu. industri hiburan tanah air ibarat dilanda badai dengan isu lagu tempatan yang dinyanyikan semula oleh penyanyi dari negara jiran, Indonesia.
Ada yang bersetuju dengan pembaharuan dalam susunan lagu yang dibawakan, dan pastinya ada yang kurang senang apabila lagu yang sudah terpahat di jiwa sekian lama tiba-tiba sahaja berubah melodi.
Malah kritikan setelah lagu diperbaharui cara penyampaian turut dilemparkan biarpun perjanjian dengan penulis serta penyanyi asal sudah dimeterai terlebih dahulu.
Namun isu yang timbul tidak sedikit pun memberi tamparan kepada kumpulan baharu Indonesia iaitu KASYARA yang baru sahaja melancarkan lagu Gerimis Mengundang dendangan asal kumpulan SLAM versi mereka sendiri.
Gerimis Mengundang yang merupakan karya agung dari komposer Malaysia iaitu Saari Amri menjadi pilihan KASYARA dalam usaha untuk menambat hati pendengar tempatan sekaligus memperkenalkan nama mereka di kalangan peminat tempatan.
Malah, Gerimis Mengundang merupakan satu karya yang amat terkenal di Indonesia pada tahun 90’an.
KASYARA juga telah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada penulis serta Universal Music Publishing Malaysia selaku pengedar untuk mengolah karya istimewa ini.
Jelas Faizal selaku pemain keyboard KASYARA, Gerimis Mengundang versi mereka diberi sentuhan terbaharu bagi penyesuaian pendengar tahun 2022.
“Ketika pertama kali menyanyikan Gerimis Mengundang versi ini, terasa segala memori ketika kecil semasa lagu ini hangat diputarkan kembali menjengah.
“Malah ia satu ‘kenangan’ yang amat diperlukan dalam menyampaikan lagu yang sarat dengan lirik menyentuh emosi ini.
“Jadi saya amat berharap tidak terpalit dengan situasi dibandingkan dengan penyanyi asal seperti yang terjadi kepada penyanyi lain.
“Setakat ini rata-rata peminat memberi pujian dengan susuan baharu Gerimis Mengundang. Besar juga harapan saya agar peminat Malaysia dan Indonesia dapat menikmati Gerimis Mengundang nyanyian KASYARA,” katanya kepada The News.
KASYARA ditubuhkan oleh Faizal pada Ogos 2021 turut dianggotai Kensen selaku vokalis dan Iyonk (gitaris).
Faizal yang juga merupakan bekas pemain keyboard bersama kumpulan terkenal NOAH yang menggantikan David semasa beliau mengalami masalah kesihatan.
Pada pertengahan bulan November 2021, mereka telah melancarkan album mini, Ruang & Waktu bersama single pertama berjudul Ruang Hati.
Lebih menarik, Faizal turut mendedahkan perancangan KASYARA yang berhasrat untuk berkolaborasi bersama Zamani bagi menjayakan projek terbaharu mereka di Indonesia dalam masa terdekat.
Lagu Gerimis Mengundang kini sudah boleh mula didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Joox Youtube Music dan lain-lain.
Vidoe muzik Gerimis Mengundang juga sudah boleh ditonton sejak 1 Julai lalu.