“Maaf saya silap…” – John Cena mohon maaf, ingatkan Taiwan itu ‘negara’

BINTANG WWE dan pelakonfilem Fast & Furious 9, John Cena memohon maaf kepada peminat di China apabila dia tersalah anggap Taiwan sebagai sebuah ‘negara’ hingga menimbulkan kemarahan penduduk China.

Untuk pengetahuan, Beijing melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada kawasan jajahannya dan tidak akan menerima sebarang percubaan diplomatik untuk mengiktiraf pulau itu sebagai negara yang merdeka.

Namun, bintang gusti sensasi itu ‘tertinggal’ sifat diplomatiknya ketika melawat Taiwan awal bulan ini bagi mempromosi filem terbaru yang dibintanginya.

Pada 25 Mei, selepas kenyataan berkaitan Taiwan itu tular di media sosial di China, John Cena memohon maaf melalui platform aplikasi Weibo menggunakan bahasa perbualan santai Mandarin.

“Saya telah melalui banyak temu ramah untuk filem ini dan saya membuat kesilapan dalam satu sesi temu ramah. Saya ingin katakan bahawa saya sayang dan hormati China dan rakyat China. Saya benar-benar memohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya.