“Buat itu salah, buat ini salah. Tak boleh tengok orang lebih sikit” – Syahmi Syazli tepis kritikan, kaut RM 2.56 juta dalam empat hari

Pengarah filem Mael Totey The Movie (MTTM), Syahmi Syazli mengakui sering berdepan kecaman dan penilaian negatif segelintir netizen.

Namun, bagi Syahmi, dia mengambil pendekatan untuk tidak membalas atau melayan komen negatif bagi sebaliknya mengaibaikannya.

“Komen negatif itu banyak, terutamanya sekarang apabila filem saya mula ditayangkan. Semakin luar kerjaya, semakin besarlah kecaman.

Filem Mael Totey The Movie cetus fenomena.

“Saya takut saya down, jadi saya ambil sikap buat tak tahu. Skip saja! Sebab lagi ramai lagi yang menulis komen-komen positif.

“Dunia sekarang tanpa sempadan kita tak boleh buat apa pun, mesti akan ada juga yang tidak senang dengan kita. Buat itu salah, buat ini salah. Jadi tak payah hiraukan,” katanya kepada Gempak.

Tambah Syahmi, komen negatif muncul daripada sikap iri hati dan tidak senang melihat kejayaan individu lain.

Syahmi dan Asif turut membintangi Mael Totey The Movie

“Saya tak faham kenapa perlu menulis komen negatif. Mungkin mereka tak boleh tengok kejayaan orang lain dan memang asal daripada sifat iri hati. Tak boleh tengok orang lebih sikit.

“Apapun, saya suka dengan tindakan balas Syamsul Yusof apabila berdepan dengan netizen yang melampau. Terus ambil tindakan undang-undang!

“Bagi saya, tak perlu balas. Nanti kita pula yang jadi sama level dengan mereka. Buat saja tak tahu. 

“Kita sukar nak bendung sebab media sosial itu percuma, keluarkan modal air liur je untuk menghukum dan menghina orang,” nasihat Syahmi lagi.

Mael Totey The Movie kaut RM 2.56 juta hanya selepas empat hari ditayangkan.

Sementara itu, Syahmi memanjatkan rasa syukur atas kejayaan filem pertamanya MTTM yang berjaya meraih kutipan mencecah RM2.56 juta selepas empat hari ditayangkan

MTTM mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya. 

Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya.

Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Sumber: Gempak