Dulu lincah menari, Kowachee kini ada single sendiri – “Orang tak tahu sebenarnya saya suka rap”

BAGI anda yang sering menonton rancangan hiburan, pasti pernah menonton kelibat gadis lincah ini yang kerap muncul sebagai penari latar. Perhatian pasti tertumpu kepadanya dek kerana figura kecil molek yang dibawanya.

Putri Amani atau lebih dikenali sebagai Kowachee bermula sebagai atlet gimnastik artistik PELAPIS Selangor pada usia 4 tahun dan mewakili negeri tersebut sehingga dia berusia 8 tahun. Dia kemudian secara rasmi memulakan karier sebagai penari, yang membawanya ke banyak acara lantas menjadikannya wajah yang popular dalam beberapa rancangan TV sebelum dinobatkan sebagai juara Ceria Megastar pada tahun lalu.

Keperibadiannya yang ceria berserta kemahiran menari yang mengagumkan menjadikan Kowachee tumpuan di Instagram apabila berjaya mengumpul lebih 70,000 pengikut sehingga kini.

Aksi lincah Kowachee sentiasa dapat perhatian.

Malah penghibur berbakat ini amat teruja untuk membuka tahun 2021 dengan melancarkan single debutnya berjudul Pap Tapom yang mendapat sentuhan produser muzik terkenal antarabangsa, Bryan B bersama Sophia Liana yang merupakan salah seorang ahli kumpulan De Fam.

Lebih mengagumkan, dia yang baru berusia 12 tahun merupakan artis rakaman paling muda yang pernah ditandatangani oleh Def Jam Malaysia.

“Kebanyakan orang mengenali saya sebagai seorang penari, tetapi sebenarnya saya juga suka rap sebanyak mana saya suka menari dan membuat persembahan di atas pentas,” jelas Kowachee. 

“Kami memutuskan untuk memilih Pap Tapomsebagai single pertama kerana bunyinya mengingatkan saya pada satu permainan yang biasa kita mainkan dengan tangan ketika kecil, dan ia juga kedengaran seperti langkah-langkah yang kita buat ketika kita menari.

“Saya berterima kasih kepada Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia kerana mempercayai saya, dan untuk semua usaha keras yang dilakukan oleh semua orang.

“Saya harap semua peminat akan suka lagu baru saya sepertimana saya suka membuatnya bersama Uncle Bryan dan Kak Sophia,” tambahnya.