BTS tidak diundang buat persembahan di majlis angkat sumpah Presiden Korea Selatan kerana ‘terlalu popular’

KETUA Jawatankuasa Majlis Angkat Sumpah Presiden Korea Selatan, Park Joo-sun mengesahkan kumpulan muzik tersohor, BTS tidak akan diundang untuk membuat persembahan pada majlis tersebut.

Joo-sun mengumumkan berita itu semasa taklimat akhbar di ibu pejabat pasukan peralihan kuasa di Seoul, lapor Kosmo.

“Kami percaya adalah tidak sesuai untuk menjemput BTS kali ini kerana bakal Presiden mahukan sebuah majlis ringkas dan sederhana yang menggalakkan perpaduan negara sambil disertai oleh kanak-kanak, warga emas serta bintang kurang dikenali.

“Tambahan pula, dengan bajet yang terhad,  sukar untuk menjemput bintang pujaan global seperti BTS, jadi kami memutuskan untuk tidak mengundang mereka,” katanya.

Namun, kata Joo-sun, beliau berharap akan ada peluang untuk menjemput BTS ke acara di masa depan yang lebih sesuai dengan status dan kemasyhuran kumpulan itu.

Beliau juga menolak tanggapan majlis angkat sumpah itu sebagai acara politik dan berkata, ia adalah acara negara yang ditetapkan oleh undang-undang.

Sumber: Kosmo