Awie sedia beri kerjasama isu langgar SOP

PENYANYI rock terkenal, Datuk Awie akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis susulan video tular yang memaparkan beliau menyanyikan lagu sambil dikelilingi beberapa individu di sebuah majlis berbuka puasa di Melaka pada Jumaat lalu.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata, beliau akan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka esok untuk memberi keterangan.

“Saya akan ke Melaka esok untuk beri keterangan di IPK Melaka, Insya-Allah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengulas berkenaan kejadian itu, vokalis utama kumpulan Wings itu menjelaskan, tindakan itu merupakan reaksi spontan beliau ketika meraikan penarik beca dalam program tersebut.

“Apabila sudah habis makan, mereka nak suruh saya nyanyi, tapi tak ada peralatan untuk nyanyi. Jadi mereka mainkan video.

“Jadi apabila video dimainkan, penarik beca ini jarang jumpa (artis), inilah kali pertama artis meraikan mereka, jadi saya bangunlah sekali. Jadi apabila mereka sudah ramai-ramai itu, saya bangun, tapi bukanlah rapat dengan mereka.

“Cuma video itu bahagian depan, saya tahu siapa yang ambil video itu dan kita pun sudah pesan, jaga SOP (prosedur operasi standard) semua. Segala SOP kita ikutlah, cuma pada ketika itu ia seperti mereka (penarik beca) macam menghargai apa yang saya buat.

“Jadi saya bangun sekejap dengan mereka, tidak sampai seminit pun, sekejap sahaja,” jelasnya.

Dalam masa sama, Awie meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir individu yang terus menghukum beliau tanpa mengetahui situasi sebenar kejadian ketika itu.

“Jangan ambil kesempatan di media sosial (berdasarkan apa) yang keluar sedikit itu untuk menghentam, kalau tidak tahu apa yang sebenarnya.

“Mana-mana netizen yang ambil kesempatan untuk hentam saya tanpa tahu cerita, yang sebenarnya, tidak mengapa dan saya maafkan mereka di bulan Ramadan dan bulan Syawal menjelang tiba ini, saya maafkan semua. Tidak ada masalah,” katanya.

Awie dalam masa sama menjelaskan, sedia untuk menerima sebarang tindakan pihak berkuasa susulan isu video tular.

Video tular berdurasi 42 saat itu menyaksikan Awie bersama beberapa individu dikatakan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan sewaktu menghadiri majlis misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka.