Artis Indonesia tawar gaji 5 juta rupiah untuk jaga buaya peliharaan

SELEBRITI terkenal Indonesia iaitu Denny Cagur mendedahkan dia sanggup membelanjakan 5 juta rupiah (RM1,429.72) sebagai upah menjaga buaya peliharaannya.

Malangnya tiada siapa yang sanggup mengendalikan reptilia itu, lapor portal berita Tempo, semalam.

Denny atau nama kelahirannya Denny Wahyudi, 43, juga memelihara 30 ekor kura-kura, lapan kucing, tujuh ular, ikan dan burung di samping mempunyai empat pekerja untuk menguruskan haiwan kesayangannya.

Pekerja Denny lari ketakutan melihat buaya tersebut.

“Saya ada haiwan peliharaan baharu. Kalau ada mahu menjaganya, saya akan beri gaji istimewa tambahan daripada gaji bulanan yang biasa diberikan,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik isterinya di laman YouTube.

Pekerja yang pada mulanya teruja mendengar tambahan gaji berjumlah 5 juta rupiah itu menjerit ketakutan sehingga ada yang melompat ke atas sofa apabila Denny mengeluarkan buaya tembaga itu daripada kurungan.

Mereka turut memberi pelbagai alasan untuk tidak ditugaskan menjaga haiwan itu.

Bagaimanapun, selepas dileteri isterinya yang bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga, Denny memberitahu, dia tidak mahu memelihara haiwan itu dan hanya menyewanya untuk mengusik pekerja.

Beberapa gambar yang dikongsi di laman Instagram menunjukkan buaya tembaga berusia lapan tahun itu hampir mencapai ketinggian Denny namun dia kelihatan tidak kekok mendukung dan membelai haiwan itu biarpun baru pertama kali memegangnya.

Sumber: Kosmo!