PENYANYI dan komposer Harry Khalifah meluahkan rasa kecewa selepas tular satu tangkap layar paparan ciapan di sebuah Facebook Group.
Harry yang juga lebih mesra di sapa Apak, menzahirkan kesedihannya apabila dirinya didakwa sebagai punca kemunduran industri muzik di Malaysia.
“Hari Ini nama Apak di sebut-sebutlagi dalam 1 page Facebook ni, Apak terpaksa sorokkan nama page dan nama tuan empunya Twitter sebab Apak tak mahu aibkan mereka.
“Cuma yang Apak sedihkan ialah mengapa nama Apak atau Harry Khalifah dipersalahkan dalam Industri muzik tanah air? Salah ke Apak berkarya untuk menghiburkan orang?,” tulisnya.
Harry, 41, juga mendedahkan kegusarannya apabila perkara tersebut dibangkitkan tambahan lagi menjadi mangsa ‘anak tiri’ radio-radio tempatan.
Dia juga mempersoalkan kesalahan yang telah dilakukan, tambahan lagi perlu menyara keluarga dengan pendapatan melalui seni muzik.
“Apak ni cuma org kampung yang ‘mental’ dalam kerja-kerja menghiburkan orang, sudahlah radio-radio besar Malaysia pun enggan mainkan lagu Apak. Kenapa tergamak mereka ‘memetik’ nama Apak? Sedih bila masih ada lagi orang seperti ini.
“Muzik dan rezeki masing-masing itu luas. Apak ada 7 anak isteri utk di suap. Apa salah Apak ye kawan?,” luah Apak.
Dalam pada itu, melalui ruangan komen di posting tersebut, Harry berkata dia telah memaafkan individu terbabit
“Apak maafkan mereka dan Apak sentiasa memaafkan, mereka ada hak nak kutuk, apa yang penting ialah Apak nak jadi penghibur yang akan diingati sampai bila-bila.
“Bila apak dah tiada satu hari nanti, Apak harap akan ada penyambung legasi Apak sebagai pencipta lagu-lagu kampung,” tulisnya lagi.