Yuna dedah ada pihak televisyen cuba jejaki lokasi perkahwinan namun tidak jumpa, lega dapat berkahwin dengan tenang

PENYANYI antarabangsa iaitu Yuna mendedahkan bahawa dia pernah terlintas untuk tidak mahu berkahwin kerana bimbang majlis perkahwinannya akan musnah gara-gara statusnya sebagai selebriti.

Menerusi satu posting yang dimuat naik Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai di Instagram miliknya, dia menegaskan bahawa dia merupakan seorang yang sangat menjaga privasi dan tidak mahu kehidupannya diganggu termasuk ketika majlis perkahwinannya.

“Saya terjumpa gambar swafoto ini beberapa jam sebelum saya bergelar isteri kepada @adamyousofunny. Kebimbangan terbesar saya sejak mula membuat muzik dan menjadi selebriti adalah memikirkan perkahwinan saya akan hancur.

“Sehinggalah saya memberitahu ibu bahawa saya tidak mahu berkahwin. Sehinggalah saya sedar perkara yang ditakutkan itu tidak akan berlaku (ada khabar angin bahawa pihak televisyen sedang berusaha menjejaki lokasi perkahwinan saya tetapi tidak jumpa).

“Saya berasa sangat gembira kerana dapat menikmati hari bahagia saya dengan tenang,” katanya dalam hantaran tersebut.

Posting Yuna di Instagram

Penyanyi kelahiran Alor Setar, Kedah ini juga menjelaskan dia berkongsi perkara tersebut kerana hari itu merupakan hari yang sangat bahagia dalam hidupnya.

Perkongsian tersebut telah menarik perhatian peminatnya apabila rata-rata mengagumi keindahan majlis perkahwinan antara Yuna dengan suaminya, Adam Sinclair yang dibuat berlatarbelakangkan pemandangan gunung di Bentong, Pahang pada 26 Januari 2018.

Penyanyi berusia 35 tahun itu turut melahirkan rasa sedih selepas memikirkan dia tidak akan dapat mengembalikan kenangan yang sangat berharga itu bersama dengan insan tersayang yang telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

Yuna turut berkongsi kenangan bersama Allahyarham Ashraf Sinclair.

Dalam perkongsian itu, Yuna turut memuat naik sekeping foto menunjukkan abang iparnya yang juga abang kepada Adam, Ashraf Sinclair sedang menari bersama isterinya, Bunga Citra Lestari semasa dalam majlis perkahwinan tersebut.

“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana dapat apa yang dimahukan,” kata Yuna

Sumber: kosmo