5 Penganjur Datang Merisik, Tapi Iman Tang Yang Paling Menarik – Norman KRU

Sidang Media genKRU

Belum reda bahang kehangatan berita kembalinya tiga beradik KRU untuk mengadakan konsert besar yang bakal dianjurkan oleh penganjur ternama Malaysia, Iman Tang dari Icon Entertainment.

Pada awalnya dunia maya dikejutkan dengan kemunculan gambar Kumpulan KRU bersama Iman Tang di media sosial, yang menimbulkan teka-teki di kalangan peminat KRU.

Banyak spekulasi yang timbul di media sosial, bagaimana mungkin KRU yang telah menyatakan berehat tiba-tiba kembali menghangatkan industri hiburan dengan konsert berskala besar.

Namun, teka-teki itu akhirnya terjawab pada 16 Disember 2024, apabila sidang media konsert KRU berlangsung dengan meriah di Dadi Cinema Pavilion. Yang menjadikannya lebih menarik adalah apabila seluruh rangkaian radio Astro memuat naik posting serentak di semua platform media sosial mereka untuk siaran langsung sidang media tersebut, termasuk Era, Era Sabah, Era Sarawak, Sinar, Gegar, Zayan, serta radio Inggeris seperti Hitz, Mix, dan Lite FM yang turut serta. Pujian paling tinggi harus diberikan kepada Priya dan Dhan dari Astro Radio kerana mengangkat artis tanah air ke peringkat yang lebih tinggi, bagaikan GERGASI.

Iman Tang & KRU

Sidang media dimulakan dengan tayangan video teaser konsert KRU yang dihasilkan oleh Yusri. Seperti yang kita ketahui, kehebatan Yusri dalam menghasilkan karya-karya sinematik yang memukau membuat semua yang hadir kagum dengan kembalinya KRU ke pentas.

Semasa sesi soal jawab, salah seorang wakil media bertanya kepada KRU, adakah penganjur lain turut merisik mereka untuk mengadakan konsert selepas kemunculan lagu baru KRU, Voodoo? Dan jika ada, mengapa KRU memilih Iman Tang dari Icon Entertainment?

Norman KRU dengan tegas menjawab bahawa terdapat lima penganjur yang datang merisik mereka untuk mengadakan konsert, namun kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai visi dan pengalaman seperti yang dimiliki oleh Iman Tang. “KRU perlu menjaga legasi dan nama kami agar tetap mempunyai rekod yang baik. Begitu juga dengan Iman Tang, dia pasti ingin menjaga reputasinya yang sangat baik dengan pengalamannya menjayakan konsert-konsert besar yang memberi impak besar kepada penonton dan industri hiburan negara,” jelas Norman.

Norman turut menambah, “Ada penganjur yang datang tanpa idea langsung, hanya ingin membayar kami untuk konsert dan menjual tiket. Apa NI? Ujarnya. Bahkan ada penganjur yang tidak tahu lagu-lagu KRU, tetapi mahu menawarkan konsert kepada kami. Saya yakin Iman Tang mampu menyanyikan lagu-lagu KRU,” katanya, diiringi tawa penonton.

Hal ini penting bagi KRU dan juga rakan-rakan artis di luar sana untuk memilih rakan kerjasama yang tepat, yang memiliki pengalaman luas seperti Iman Tang. “Dengan maraknya industri persembahan sekarang, kita harus bijak memilih penganjur yang benar-benar mahir. Banyak penganjur baru yang mendaftar syarikat hari ini, cari artis untuk konsert esok, dan akhirnya banyak yang gagal, mengecewakan penonton, bahkan tidak sedikit membatalkan konsert.”

“Kami sebagai artis mahu konsert kami memberikan kepuasan kepada peminat. Kami ingin konsert ini menjadi Memori Baik buat peminat kami dan dapat dikenang sehingga 10 atau 30 tahun akan datang. Peminat yang hadir juga dapat menceritakan pengalaman mereka menyaksikan konsert ini kepada generasi penerus mereka,” tambahnya lagi.

Iman Tang pula mendedahkan bahawa dia telah merisik KRU sejak tahun 2022, malah ia menunjukkan mesejnya kepada Yusri. Pada masa itu, KRU masih bersara. Namun, segala usaha Iman tidak sia-sia apabila pada tahun 2024 mereka bersetuju menjalin Kerjasama untuk Kembali semula menggegarkan industry persembahan tanah air dengan sekala besar.

Hasilnya dari sidang media tersebut mereka berjaya mengejutkan dunia maya dengan komen komen dari generasi 90an, terdapat banyak komen komen yang lucu seperti ‘ketepi ketepi adik-adik Gen Z, bagi peluang kami acik acik ni, dulu masih sekolah tak boleh tengok konsert” Ini membuktikan perancangan pemasaran yang dilakukan oleh Iman Tang sangat berkesan dan berjaya.

Seperti yang dikatakan oleh sahabat penulis, Syafiq’S, “Ibarat dalam sebuah kelab bola, mereka boleh ambil pemain kelab kita, mereka boleh ambil pengurus kelab kita, tetapi mereka lupa, dalam setiap kejayaan ada jiwa, ada seorang mastermind yang merancang segalanya dengan teliti. Tidak semestinya menggunakan pemain bola yang sama dapat mencetak gol. Mastermind itu bernama Iman Tang.”

Iman Tang

Wartawan kami sempat menemubual Iman Tang dan bertanya mengenai perasaannya apabila banyak penganjur mengikuti konsep dan tema pakaian yang diciptakannya, serta pandangannya jika tema konsert KRU turut ditiru. Iman menjawab bahawa dia merasa senang jika konsepnya dapat membantu mana-mana penganjur. Namun, beliau berharap mereka dapat menambah baik dan memberikan sentuhan idea mereka sendiri. “Kerahkan sedikit idea, ia dapat membantu mereka di masa hadapan. Janganlah tiru bulat-bulat, tapi saya okay,” ujarnya.

Beliau juga menambah bahawa tema pakaian boleh divariasikan dengan pelbagai bentuk. “Kita harus yakin dengan apa yang kita lakukan, insya-Allah, ia akan berjaya,” tambah Iman.

Seperti yang kita ketahui, tiga penganjur lain mengikuti idea Iman Tang dengan tema pakaian denim dan top putih, termasuk penganjur konsert Ella di Singapura, konsert Siti Nurhaliza dan Judika, serta yang terbaru, konsert Aina Abdul.

Jangan lupa tarikh keramat 3 Mei 2025, konsert genKRU di Stadium Axiata Arena pada pukul 8 malam. Tiket akan dijual pada hari Jumaat, 20 Disember 2024, pukul 11 pagi, dan boleh didapati di talian www.ticket2u.com.my.

Oleh: Room None