Home Film Kisah gelandangan dalam telemovie Terlajak Subuh

Kisah gelandangan dalam telemovie Terlajak Subuh

Berpengalaman menerbitkan pelbagai drama dan telemovie menarik, Kembara Sufi Production bakal tampil dengan sebuah lagi telemovie berjudul Terlajak Subuh.

Penerbitnya, Jaja Ishak berkata, telemovie berkenaan dihasilkan bersempena dengan Hari Pekerja dan akan ditayangkan di saluran RTM pada 1 Mei nanti.

“Apa yang istimewanya tentang Terlajak Subuh ini, selain jalan cerita yang menarik kami juga turut mengetengahkan dialek negeri Pahang.

“Malah, rata-ratanya pelakon yang membintangi telemovie ini juga berasal dari negeri Pahang kecuali Bell Ngasri. Itu antara kelainan yang cuba kami paparkan,” ujarnya.

Menurut Jaja, selain menggunakan dialek negeri Pahang, penggambaran telemovie berkenaan juga turut dilakukan di dua daerah negeri berkenaan iaitu Kuantan dan Temerloh.

Selain dibintangi oleh Bell Ngasri, telemovie Terlajak Subuh juga menampilkan pelakon seperti Lan Siro, Zetty Mentor dan Razak Ahmad.

Terlajak Subuh mengisahkan tentang dua pemuda iaitu Zam (Bell Ngasri) dan Mat (Lan Siro) yang berangan-angan mahu menjadi kaya, tetapi tidak mahu berusaha bersungguh-sungguh.

Sehinggalah pada suatu hari kedua-duanya berjumpa dengan seorang lelaki mualaf di masjid. Lelaki tersebut banyak memberikan bimbingan kepada Zam dan Mat, misalnya nasihat tidak meninggalkan solat Subuh.

“Telemovie ini temanya tidaklah terlalu ringan dan berat, namun ia sebenarnya banyak memberi pengajaran terutama sekali sekiranya mahu berjaya dalam kehidupan,” ujarnya.

Mengenai pemilihan Isma Yusoof sebagai pengarah, Jaja memberitahu sebelum ini mereka sudah beberapa kali bekerjasama dan berpuas hati dengan hasil karyanya.

“Tidak dinafikan terdapat pelbagai cerita yang timbul mengenai Isma, namun setakat ini kami tiada masalah dengannya dan saya melihat kesungguhannya dalam bidang pengarahan itu sangat dipuji,” jelasnya.

Exit mobile version