Dolla tayang ‘skill’ lakonan dalam telefilem “Dolla Watch Me Glow”

WALAUPUN baru setahun memulakan kerjaya dalam bidang seni, pencapaian kumpulan pop wanita, Dolla mungkin boleh dikatakan terbaik sejak mula diperkenalkan.

Kini, mereka boleh berbangga apabila kisah hidup mereka akan diangkat melalui sebuah telefilem Dolla Watch Me Glow yang bakal menemui peminat 22 Mei ini.

Telefilem yang diarahkan oleh Izuan Mokhtar diinspirasikan dari kisah benar kumpulan Dolla iaitu Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angle.

Idea untuk mengangkat kisah hidup Dolla tercetus daripada pihak Astro bersama Zeel Production yang melihat populariti serta impak kumpulan yang mula popular dengan lagu Dolla Make You Wanna itu wajar dikongsi bersama penonton.

Anggota Dolla, Sabronzo berkata, “Apabila pihak Universal Music memaklumkan mengenai tawaran pihak Astro, kami sangat terkejut. Jika hendak dibandingkan dengan kumpulan atau penyanyi lain, kami masih lagi terlalu hijau dan kerdil. Lagipun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan”.

Berkongsi pengalaman, mereka mengakui agak kekok untuk berlakon memandangkan ini peluang pertama mereka mencuba bidang lakonan. Namun, dengan bantuan pengarah serta krew, mereka berjaya menjiwai watak masing-masing.

Menurut Dolla sendiri, kisah telefilem Dolla Watch Me Glow hampir 70 peratus tepat dengan kisah hidup anggota kumpulan itu. Pelbagai kisah suka dan duga bakal dikongsi dengan peminat, malah banyak yang mungkin tidak diketahui oleh peminat sebelum ini.

Dalam pada itu, mereka juga berharap telefilem itu dapat mengangkat dan membuka mata peminat khususnya generasi madu terhadap anak seni tempatan yang berbakat dan hebat.

Telefilem itu juga turut dibarisi Fauziah Nawi, Angeline Tan, Aniq Suhair, Catriona Ross, Aida Aris, Douglas Lim dan ramai lagi.

Exit mobile version