BUSUT BONANG ‘Apabila saka Kampung Bonang mengamuk dan menuntut pewaris baru’

Filem-filem bercorak seram komedi merupakan antara genre yang sering menjadi kegemaran penonton di Malaysia.

Menyedari hakikat itu, maka Alfanazra Productions Sdn. Bhd. mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Busut Bonang.

Pengarahnya, Khalid Nadzri berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan adalah cetusan bersama penulis skrip iaitu Siti Jasmina Ibrahim.

 

Menurutnya, dalam filem ini dia mengangkat tema urban legend, di mana kepercayaan masyarakat moden sekarang yang segelintirnya masih mempercayai tentang kejadian-kejadian urban legend.

”Menerusi proses perbincangan dan genre komedi seram yang dipilih bersama seorang lagi penulis skrip iaitu Aloy Paradoks, akhirnya ia diolah menjadi sebuah cerita mengenai saka sebagai isu utama.

 

”Malah, busut juga menjadi suatu tanggapan kisah rakyat yang berkait rapat dengan entiti, misalnya menjadi tempat pemujaan animisme dan pontianak bertenggek,” ujarnya.

Bakal ditayangkan di pawagam pada 19 Disember 2019, Busut Bonang menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayah, Rashidah Jaafar, Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri, Badrolshah @ Bard  dan Ropie.                                                                        

Mengenai pemilihan genre seram sebagai nashkah terbaharunya, Khalid menyatakan genre sedimikian bersifat universal dengan gabungan tragik dan komedi dalam penceritaannya.

 

Jelasnya, menerusi filem Busut Bonang ini ia menerapkan sebuah kisah seram yang dekat dengan rakyat, terutama yang masih mempercayai kisah mistik.

 

”Dalam filem ini, selain menerapkan elemen hiburan kepada penonton, ia juga memberi sindiran sinis terhadap masyarakat yang masih lagi tebal dengan kepercayaan mistik,” ujarnya.

 

Menurutnya, penggambaran filem berkenaan dilakukan pada Januari 2019 di dua buah lokasi iaitu di Kuala Kangsar dan Ipoh selama 20 hari.

 

Ketika ditanya tentang cabaran sepanjang pembikinan Busut Bonang, Khalid memberitahu antara yang paling sukar ialah untuk menerapkan dua elemen iaitu seram dan komedi.

 

”Bagi saya bukan mudah untuk menterjemahkan sebuah filem seram dengan menerapkan elemen komedi untuk membuatkan penonton ketawa.

 

”Bagaimanapun, lakonan yang ditampilkan barisan pelakon memang banyak membantu pembikinan filem ini berjalan dengan lancar,” ujarnya mengenai filem kedua arahannya itu setelah pernah muncul dengan filem Coverina sebelum ini.

 

Salah seorang pelakon utamanya, Nadzmi Adhwa berkata, dia tertarik membintangi filem ini kerana tertarik dengan watak yang ditawarkan.

 

Memegang peranan sebagai Lutfy, pelakon tersebut menjelaskan wataknya itu adalah seorang lelaki berpelajaran tinggi yang datang ke sebuah kampung untuk menyelamatkan kampung tersebut.

 

”Dapat bekerja dengan pengarah seperti Khalid memang banyak memberi pengalaman baharu buat saya sebagai pelakon.

 

”Ketika penggambaran saya dan dia selalu berbincang, terutama untuk ’menghidupkan’ watak sebagai Lutfy dan dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya,” ujarnya.

 

Nadzmi berkata, untuk filem terbaharunya ini dia tidak meletakkan sebarang harapan yang terlalu tinggi kepada penonton.

”Apa yang saya mahukan agar penonton dapat menerima jalan cerita yang ditampilkan serta terhibur ketika menontonnya nanti,” jelasnya.