YouTuber pukul kekasih sampai mati di Pulau Pinang, cemburu jadi motif utama?

POLIS Pulau Pinang masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar seorang YouTuber bertindak memukul kekasihnya sehingga maut dalam kejadian di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi berkata, siasatan secara menyeluruh akan dilakukan pihaknya termasuk dakwaan kejadian dipercayai bermotifkan cemburu, lapor Astro AWANI.

Kamarul Rizal berkata, tiada tangkapan baharu dilakukan, setakat ini polis hanya menahan empat individu berusia 23 hingga 28 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Berdasarkan laporan bedah siasat, mangsa berusia 20 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan kerana hentakan menggunakan kekerasan atau objek tumpul (blunt trauma).

Kamarul Rizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan.

Pada Selasa, polis menahan lelaki yang juga Youtuber bersama tiga rakannya bagi membantu siasatan kes kematian seorang wanita.

Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau mengenai pesakitnya yang tidak sedarkan diri dan kritikal pada 2 April lalu.

Pemeriksaan lanjut pihak hospital mendapati seluruh tubuh mangsa yang juga kekasih suspek itu mempunyai kesan lebam lama dan baharu.

Mangsa kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia pada hari sama.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita maut dipercayai dipukul teman lelakinya selepas bertengkar kerana suspek mendapati wanita tersebut curang dengan rakannya.

Pasangan kekasih itu datang dari ibu kota untuk penggambaran kandungan YouTube rakan mereka pada 27 Mac lalu dan dibenarkan tinggal di rumah sewa rakan tersebut yang juga seorang YouTuber sehingga selesai penggambaran.

Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham antara suspek dengan kekasihnya pada 2 April lalu yang membawa kepada kematian wanita itu yang menetap di Melaka.

Sumber: Astro AWANI