Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita berhubung insiden pertembungan dua tren LRT

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita berhubung insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan pada Isnin.

Perkara itu dizahirkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook Istana Negara hari ini.

Baginda dalam masa sama turut mendoakan kesemua mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut agar dikurniakan kesembuhan yang segera.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa syukur ke hadrat ilah kerana kesemua penumpang dalam kemalangan tersebut telah dapat dikeluarkan dari tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi penghargaan kepada para petugas keselamatan dan kecemasan atas kepantasan serta kesungguhan mereka dalam usaha menyelamat dan merawat mangsa-mangsa kemalangan terbabit,” menurut kenyataan tersebut.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Baginda turut mengharapkan agar kesemua mangsa terlibat diberikan keutamaan khususnya dari segi rawatan dan kebajikan.

Dalam masa sama, Al-Sultan Abdullah berharap insiden berkenaan akan menjadi iktibar kepada semua pihak agar ia tidak lagi berulang di masa hadapan.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 malam tadi, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya.

Kejadian berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru, melibatkan satu tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.