Waspada Keracunan Karbon Monoksida Ketika Memandu Jauh Semasa Musim Cuti

Menjelang sambutan Aidiladha pada Khamis ini, pakar menasihati orang ramai yang bercadang memandu jauh agar membawa kenderaan mereka untuk diperiksa, selain mengelak tidur di dalam kenderaan dengan pendingin hawa dihidupkan.

Yang ditakuti mereka ialah keracunan monoksida, yang bukan sekadar menyebabkan ramai pengguna kenderaan jatuh sakit tetapi juga meninggal dunia.

Dalam keadaan negara dilanda gelombang haba sekarang, pengguna kenderaan berkemungkinan besar menetapkan alat pendingin hawa pada paras tertinggi dan menutup tingkap kenderaan semasa berhenti rehat.

Insiden itu menimpa empat pelajar kolej yang masing-masing berusia 21 tahun, kira-kira tiga tahun lalu. Mereka yang dalam perjalanan pulang dari bercuti di Pulau Jerejak, memutuskan untuk berhenti rehat di sebuah stesen minyak.

Empat gadis terbabit tertidur dalam keadaan pendingin hawa dan enjin kenderaan dihidupkan sertap tingkap tertutup rapat. Malangnya, sistem ekzos kenderaan mereka mengalami kebocoran mengakibatkan gas karbon monoksida dipam masuk ke dalam kabin kereta.

Tiga daripada mereka meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida. Seorang disahkan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi semasa dalam perjalanan ke hospital. Dua lagi, iaitu pasangan kembar, menjalani rawatan hiperbarik, namun hanya seorang – Nor Aqilah Mohd Safwan – berjaya diselamatkan.

Walaupun banyak laporan tentang kematian sebegini, kes keracunan karbon monoksida yang menurut pakar boleh dicegah terutama di kawasan beriklim panas seperti Malaysia, masih berlaku.

Yang terkini ialah pada 24 April lalu apabila empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak, tidak sedarkan diri akibat keracunan karbon monoksida, menyebabkan kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar palang tol di Bentong, Pahang. Orang ramai dan pihak polis berjaya menyelamatkan kesemua mereka.

Sumber : Sinar Harian