Warga asing bunuh gelandangan direman tujuh hari

SEORANG warga asing berusia 40 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini selepas didapati membunuh seorang gelandangan di kawasan semak sekitar Kota Damansara pada semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, suspek yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah itu ditemui jirannya apabila pulang dalam keadaan cedera dan berlumuran darah.

Hasil siasatan terhadap suspek telah membawa kepada penemuan mayat di lokasi kejadian dengan kesan tetakan di kepala.

“Pemeriksaan di tempat kejadian dengan dipandu suspek telah menemui sebilah sabit dipercayai senjata digunakan suspek untuk menetak mangsa.

“Siasatan mendapati mangsa merupakan gelandangan yang tinggal di sebuah pondok di kawasan semak tersebut,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Fakhruddin, hasil semakan bagaimanapun mendapati mangsa mempunyai satu rekod jenayah melibatkan kes kecurian motosikal manakala suspek tidak mempunyai sebarang rekod.

Setakat ini, polis masih menyiasat motif pembunuhan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan.