Wanita hampir dirogol! Nasib baik ada jiran dan penghantar makanan yang selamatkan!

TINDAKAN pantas jiran dan pekerja penghantar makanan yang melihat lelaki menceroboh rumah seorang wanita di Putrajaya berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa rogol, semalam.

Kejadian berlaku pada 2.51 petang dan suspek berusia 32 tahun itu dilaporkan mengekori mangsa, 23 dari dalam lif sehingga ke rumah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, apabila tiba di hadapan rumah, lelaki berkenaan terus mengacu pisau menyebabkan mangsa ketakutan masuk ke dalam rumah dan memanggil rakannya.

Walau bagaimanapun, suspek bertindak masuk ke dalam bilik mangsa dan mengunci pintu.

“Namun mujur pekerja penghantar makanan yang kebetulan tiba untuk menghantar makanan bersama jiran membantu menahan suspek”, katanya.

Jelasnya kepada Harian Metro, “Siasatan awal keluarga menyatakan suspek mengalami masalah kesihatan mental sejak beberapa tahun ini dan tidak bekerja”.

Kamsiah berkata, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro