Vaksin Covid 19 sesuai untuk ibu hamil dan menyusu

JIKA sebelum ini ramai yang tertanya jenis vaksin apa sesuai bagi ibu menyusu dan mengandung di Malaysia. Baru-baru ini, menurut garis panduan yang baru sahaja dikeluarkan bagi ibu yang menyusu badan mereka boleh dapat vaksin Covid 19 keluaran Sinovac dan AstraZeneca Oxford.

Manakala, bagi ibu mengandung antara 14 ke 33 minggu pula boleh mendapatkan vaksin Pfizer atau sebaiknya ditangguhkan terlebih dahulu sehingga selepas kehamilan.

Dalam pada itu, maklumat terbaru mengenai kesesuaian vaksin Covid 19 bagi wanita hamil dan menyusu juga akan dimaklumkan secara rasmi dari masa ke semasa.

Sehubungan itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin akan mengumumkan tarikh dan masa untuk pendaftaran 1 juta vaksin Covid 19, jenis Vaxzevria dari AstraZeneca Oxford, untuk seluruh negara, kecuali Sarawak.

Menurut beliau, vaksin Vaxzevria akan dibuka pendaftarannya di laman vaksincovid.gov.my dan perlu didaftarkan di situ sekali lagi, walaupun pendaftaran telah dibuat di aplikasi MySejahtera.

Ini kerana pendaftaran di aplikasi MySejahtera adalah untuk giliran mengikut fasa yang telah dirancang oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).

Sekiranya pendaftaran berjaya, tarikh temujanji akan dimaklumkan di aplikasi MySejahtera, sebagaimana proses pendaftaran AstraZeneca sebelum ini.

Menurut perkongsian seorang doktor di Facebook dikenali sebagai Dr Rusyainie, orang ramai dinasihatkan agar tidak pergi ke pusat pemberian vaksin bagi dapatkan suntikan dengan mengisi kekosongan individu yang tak hadir. Selain tidak dibenarkan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sudah mempunyai senarai nama menunggu yang akan diagihkan.

Oleh sebab itu, jika anda tidak mahu menunggu giliran, maka boleh mendaftarkan diri untuk Vaxzevria.