Home Berita Semasa UMNO tidak lagi sokong Muhyiddin, desak letak jawatan

UMNO tidak lagi sokong Muhyiddin, desak letak jawatan

UMNO membuat keputusan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat berikutan kegagalan kerajaan memenuhi tujuh syarat sokongan UMNO.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dilihat gagal mentadbir negara khususnya dalam keadaan pandemik serta memohon beliau untuk berundur.

“Maka tempoh memberi sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ditarik balik dan dibatalkan serta merta.

“UMNO mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad,” katanya menerusi sidang media secara maya awal pagi ini.

Beliau memaklumkan perkara itu sebaik sahaja selesai mengadakan mesyuarat secara maya bersama ahli MKT UMNO.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak menyentuh mengenai kedudukan Menteri UMNO di dalam kabinet.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan tidak akan sesekali mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang mempunyai kerjasama bersama DAP.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa serta merta.

Ini termasuk lantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang merupakan Menteri Luar Negeri sebagai Menteri Kanan.

Setakat ini, seramai 14 ahli UMNO sedang memegang jawatan di bawah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin

Exit mobile version