Twitter ‘Edisi Siasat’ sengaja cetus sensasi – Ketua Polis Negara

AKAUN media sosial Twitter ‘Edisi Siasat’ yang dilihat mendedahkan pelbagai dakwaan kontroversi terutamanya membabitkan penguatkuasa dilihat seperti sengaja disensasikan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setiap pendedahan yang dibuat Edisi Siasat akan disalurkan kepada pihak Jabatan Integriti Bukit Aman untuk siasatan.

“Setakat ini, PDRM telah buka 13 kertas siasatan untuk kita kenal pasti siapa individu di belakang akaun Edisi Siasat ini.

“Saya ingin nyatakan, setiap perkara yang disebarkan merupakan berita yang sengaja mewujudkan suasana sensasi dan kalau ia melibatkan PDRM kita akan salur kepada Jabatan Integriti.

“Setakat ini, kita masih jalankan siasatan dan kita pasti dalam tempoh terdekat kita dapat kenal pasti siapa individu terlibat di belakang akaun tersebut,” katanya hari ini.

Pada 1 November lalu, polis menerima sebanyak 11 laporan daripada individu yang dikaitkan dengan dakwaan kes salah guna kuasa dan rasuah seperti didedahkan pengendali sosial Edisi Siasat.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri dilaporkan sedia bekerjasama dengan pihak yang membuat laporan polis berkaitan dakwaan salah laku rasuah termasuk seperti yang didedahkan pengguna laman sosial dinamakan edisi siasat sejak bulan lalu.