Tun M pilih parti Putra, terus perjuang hak orang Melayu

TUN Dr Mahathir Mohamad memilih Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebagai platform untuk terus memperjuangkan hak orang Melayu.

Bagaimanapun perjuangan itu tidak akan mengenepikan kepentingan kaum lain.

“Hati saya masih lagi dengan perjuangan orang Melayu walaupun saya sudah berumur 97 tahun. Kedudukan orang Melayu buat masa ini lebih banyak masalah dari kaum lain dan Ini bukan kerana perkauman,” jelasnya kepada Astro AWANI.

Dr Mahathir ditemui semasa majlis sidang media selepas majlis penyerahan kad keahlian dan watikah Penasihat Putra yang disampaikan oleh Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali pada rabu.

“Kita perlu melihat orang Melayu dapat bahagian mereka dalam keadaan di negara kita (yang mana) mereka sekarang ini tidak menguasai ekonomi dan politik. Kalau kita tak selamatkan orang Melayu, negara kita akan hadapi masalah kepincangan,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini telah mengumumkan yang beliau bersama 12 ahli lain keluar daripada parti Pejuang yang diasaskannya ekoran tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air.

Mengenai penyertaan Putra dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini pula, Dr Mahathir berkata keputusan akan dibuat selepas perjumpaan beliau dengan kepimpinan tertinggi Putra.

Tarikh 7 Mac hingga 6 April telah ditetapkan oleh Putra untuk mengadakan mesyuarat agung bahagian, 7 Mei untuk persidangan perwakilan peringkat pusat, manakala pemilihan barisan kepimpinan pula dicadangkan pada 8 April ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Putra Tan Sri Mohd Khalid Yunus berkata sejak tersebar kesediaan Dr Mahathir menyertai Putra, parti itu telah menerima lebih 1,000 permohonan ahli baharu.

Sumber gambar – Wikipedia | Sumber laporan – Astro Awani