Tun M dedah Zahid Hamidi pernah datang ke rumah minta siasatan rasuah dihentikan

TUN Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pernah bertemunya meminta supaya siasatan kes rasuah terhadap Presiden UMNO itu dihentikan.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) itu mendakwa, pertemuan itu berlaku ketika ada ura-ura bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, ketika itu Ahmad Zahid mahu siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya dihentikan.

“Ahmad Zahid datang ke rumah saya bersama dua tiga orang lagi dan dia cuba nak berbaik-baik dengan saya.

“Pada masa itu, ada kemungkinan saya menjadi Perdana Menteri, atas sebab itu dia ingin berbaik dengan saya,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Aspirasi Johor, di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Rabu.

Turut hadir, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dr Mahathir berkata, beliau mengetahui mengenai masalah jenayah yang dilakukan Ahmad Zahid, selain menyedari kemungkinan pemimpin UMNO berdepan hukuman penjara.

Katanya, selepas Ahmad Zahid bersama dengan parti yang membentuk kerajaan, beliau ada mendengar cubaan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu untuk tindakan mahkamah terhadapnya dihapuskan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan bila sebenarnya tarikh dan lokasi pertemuan berkenaan.

Sumber: Berita Harian