Tumpuan pelancong di Langkawi, KMM siap sedia peningkatan kes COVID-19

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia siap sedia bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes COVID-19 susulan pembukaan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini termasuk persediaan bagi melengkapkan keperluan
Unit Rawatan Rapi (ICU).

KKM turut memaklumkan, penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Langkawi pada 4 Ogos lepas, telah berjaya mendapatkan 60 katil tambahan bagi merawat pesakit COVID-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

“Bagi ICU, sebanyak lapan katil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes COVID-19.

“Selain itu, jabatan-jabatan lain di HSM seperti Jabatan Kecemasan & Trauma, Jabatan Patologi & Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsagaan masing-masing bagi merawat kes COVID-19 yang mungkin akan bertambah,” katanya.

Dr Noor Hisham dalam masa sama mengingatkan orang ramai yang bakal berkunjung ke negeri untuk kekal patuh kepada SOP.


Menyedari keseimbangan ekonomi dan kelangsungan hidup, pihaknya berharap tiada berlaku lonjakan kes di lokasi pelancongan itu.

Usaha itu katanya memerlukan kerjasama semua pihak dalam memahami situasi negara yang masih berdepan pandemik.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).