Tular kenduri durian, polis sahkan 11 individu dipanggil beri keterangan

POLIS mengesahkan telah memanggil seramai 11 individu berhubung video tular mengenai kenduri durian yang berlaku di kebun durian Batu Pahat sehingga mengundang kecaman netizen.

Video berkenaan turut melibatkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Mohd Rashid dijangka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat bagi memberikan keterangan sebaik sahaja pulang dari Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, video tular berdurasi 13 saat itu menyaksikan Mohd Rashid bersama beberapa lagi individu lain sedang menikmati durian di sebuah kebun yang dikatakan tidak mempunyai penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Batu Pahat itu sebelum ini mendakwa ia merupakan video lama selain turut memohon maaf atas kekeliruan berikutan kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk video tersebut.