Tular buli: Enam pelajar digantung sekolah – Mahdzir Khalid

ENAM orang pelajar yang terlibat dalam insiden tular kes buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak digantung persekolahan serta merta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini termasuk cadangan daripada Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) untuk menamatkan pengajian mereka di institusi tersebut.

Menurutnya, kesemua pelajar tersebut terlibat dengan kes berkenaan termasuk mereka yang bersubahat dan melakukan provokasi.

Setakat ini, JDM telah memanggil 10 pelajar itu yang mana kesemua mereka berada di Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 3.

“JDM telah mencadangkan (dan membuat keputusan) supaya (enam) pelajar (yang telah memukul mangsa) ini digantung persekolahan selama dua minggu dan (turut) dicadangkan (untuk) tamatkan pengajian (mereka) di MRSM.

“(Sebenarnya dalam nak mengekang masalah buli) kena ada pelan jangka pendek dan jangka panjang di peringkat MRSM itu, benda ini memang sudah berlaku dan kes macam ini memang serius, jadi ia memang tidak patut berlaku.

“Jadi JDM, akan (turut) bawa kes ini ke Jawatankuasa Disiplin dan Rayuan Maktab, itu adalah keputusan (yang dicapai setakat ini),” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, Kedah pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mahdzir menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mencampuri urusan siasatan yang dijalankan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya akan melalukan siasatan di peringkat dalaman.

Kejadian yang berlaku juga disifatkannya sebagai malang kepada MRSM yang banyak mempunyai pelajar yang cemerlang dari segi sahsiah serta akademik selain telah melalui pelbagai saringan sebelum diterima masuk ke institusi itu.