CHUKAI: Tujuh sekolah sekolah di daerah Kemaman rosak akibat ribut dan hujan air batu, petang semalam.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong berkata sekolah yang rosak ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Falah, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman dan SK Seri Kemaman, SK Bukit Mentok, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Sultan Ismail dan SMK Bukit Mentok.
“SMA Al Falah paling terjejas kerana hampir 80 peratus bumbung sekolah itu diterbangkan angin.
“Tiga sekolah ini terpaksa ditutup berikutan terdapat banyak kerosakan terutama di bumbung sehingga menyebabkan bilik darjah tidak dapat digunakan,” katanya.
Bagaimanapun, empat sekolah lain masih dapat beroperasi dan meneruskan pembelajaran,” katanya.
Jelani berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan dan penilaian bagi mendapatkan jumlah sebenar kerugian.
“Kerja-kerja pembersihan serpihan atap semua sekolah terbabit akan dilakukan dengan segera dan pihak kami telah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk pembaikan.
“Berhubung dengan SMA Al Falah, Bahagian Pendidikan Islam akan membuat permohonan untuk pembaikan dengan kerajaan negeri memandangkan sekolah terbabit adalah sekolah agama di bawah kerajaan negeri,” katanya.
ikhsan Berita Harian