KUALA LUMPUR: Jumlah transaksi untuk skim “Buy Now Pay Later” (BNPL) meningkat dengan ketara pada separuh kedua tahun 2024 kepada RM7.1 bilion, berbanding RM4.9 bilion pada separuh pertama tahun lepas.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata sehingga Disember 2024, terdapat 5.1 juta pengguna aktif BNPL, dengan majoriti berumur antara 21-45 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan. Sebanyak 12 syarikat kini menawarkan perkhidmatan ini.
Walaupun peningkatan transaksi BNPL masih terkawal, beliau menyatakan kebimbangan mengenai tahap hutang isi rumah yang mungkin meningkat akibat penggunaan BNPL yang semakin popular.
“Sehingga Disember 2024, jumlah pinjaman BNPL ialah RM2.8 bilion, yang hanya mewakili 0.2%daripada jumlah hutang isi rumah di Malaysia.
“Jumlah tunggakan BNPL juga terkawal pada RM82.6 juta, iaitu 2.9% daripada jumlah kredit BNPL,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Senator Musoddak Ahmad mengenai langkah mengawal aktiviti agensi pemberi kredit seperti BNPL.
Amir Hamzah turut menegaskan bahawa Kementerian Kewangan telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna di Dewan Rakyat pada 4 Mac 2024. RUU ini bertujuan untuk meningkatkan perlindungan kepada pengguna kredit di Malaysia.
“RUU Kredit Pengguna menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu untuk industri pemberi kredit bukan bank.
“Di bawah RUU ini, penyedia BNPL perlu mematuhi piawaian etika dan standard yang ditetapkan, termasuk ketelusan dalam yuran, syarat kredit yang adil, dan memberi peringatan berkala kepada pengguna mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.
“Jika RUU ini diluluskan, ia akan ditadbir oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Kementerian Kewangan,” jelasnya.
RUU ini diharap dapat memastikan pengguna dilindungi dan industri kredit diuruskan dengan lebih baik.